Wednesday, March 12, 2008


BERITA DARI GEREJA KECIL KOMUNITI UMAT KATOLIK (KUK)
ST. SABINA,KG. TITIMBOUNGON, PAPAR



Tiga puluh satu (31) tahun yang lalu dalam tahun 1971, sebuah gereja yang sederhana telah dibina oleh beberapa orang penduduk kampung yang mana diketuai seorang pengasas agama Katolik di kampung ini pada masa itu, iaitu En. OKK Joseph KK Gunsoi. Beliau bersama Rev. Fr. Aloysius Tung telah memberi nama "St. Sabina" sebagai nama patron gereja ini sempena nama Kg. Sabandil iaitu sebelum Kg. Sabandil ini dibahagi kepada dua kampung iaitu Kg. Sabandil dan Kg. Titimboungon semasa pemerintahan kerajaan Perti Bersatu Sabah (PBS). Lokasi Gereja kecil St. Sabina ini terletak lebih kurang 6 KM dari Pekan Papar dan lebih kurang 8.5 KM jauh dari Pusat Paroki Holy Rosary Limbahau Papar. Kemudahan Infrastruktur yang terdapat di gereja dan sekitarnya ini adalah seperti jalan berturap menuju ke gereja, sebuah bangunan Mini Dewan Sekolah Minggu (PMG), bekalan Elektrik namun belum mempunyai bekalan air yang agak sempurna. Kebanyakan kemudahan infrastruktur yang terdapat di Gereja St. Sabina ini adalah disumbangkan oleh Kerajaan dan sebahagiannya atas derma daripada individu yang bermurah hati dengan pembinaannya secara gotong-royong oleh umat gereja St. Sabina sendiri.
Di samping itu, lokasi dan kedudukan Topografi tapak gereja St. Sabina (diatas bukit) ini adalah amat sesuai dan mudah dikunjungi oleh para umatnya mahupun umat dari gereja-gereja lain disekitarnya. Umat St. Sabina amat berbangga kerana gereja St. Sabina ini seringkali digunakan oleh sesetengah umat outstasi untuk beribadah seperti, mengadakan saat teduh (Retreat), mengadakan seminar-seminar, Bengkel Koir / ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti kerohanian yang lain. Namun, gereja St. Sabina ini masih memerlukan beberapa pengubahsuaian dari segi pembesaran bangunannya kerana setiap tahun jumlah umat Katolik St. Sabina Kg. Titimboungon ini sering meningkat jumlah umat Katoliknya dimana setakat ini sudah mencapai 300 orang (bancian setakat April 2004). Sehubungan dengan itu gereja kecil St. Sabina ini tidak dapat menampung umatnya yang semakin bertambah terutama sekali semasa perayaan-perayaan Hari Natal dan perayaan Paska. Oleh itu, sumbangan untuk pembesaran gereja ini masih lagi diperlukan samada sumbangan dari Kerajaan mahupun sumbangan dari individu yang prihatin dan bermurah hati.
Gereja KUK St. Sabina ini sering dilawati oleh Padri sekali sebulan pada hari-hari biasa untuk mengadakan Misa Kudus. Walaubagamanapun, gereja Komuniti Umat Katolik St. Sabina ini dipimpin oleh seorang Pengerusi KUK, saudara Kat. Magnus Verus, beliau adalah seorang Pembimbing Katikesis di gereja ini, juga selaku Penyelaras Kerasulan Setempat sekli gus pemimpin upacara Ibadat Sabda setiap hari minggu. Beliau adalah seorang yang gigih dan banyak memberi bimbingan dari segi perkembangan iman umat gereja St. Sabina dan memberi idea-idea bernas dari segi perlaksanaan aktiviti-aktiviti kerohanian mahupun dari segi perkembangan aktiviti persekitaran gereja terutama sekali mengamalkan semangat bergotong-royong dikalangan umat. Beliau juga adalah penyelaras dan penasihat kepada para pembimbing sekolah minggu, Pertemuan Minggu Gembira (PMG), Liturgi Sabda Kanak-kanak yang bermula pada sekitar bulan Februari 2004, Kelas Pertemuan IKD dan Kelas Penguatan dimana terdapat seramai 10 orang pembimbing sekolah minggu di gereja St. Sabina dengan setakat ini.

Keceriaan persekitaran kawasan Gereja St. Sabina ini agak menarik dan terpelihara kerana kawasan persekitarannya ditanami dengan berbagai jenis bunga-bungaan yang ditanam dan dijaga oleh setiap KKD gereja ini.. Keindahan persekitaran gereja St. Sabina ini amat ketara sekali selepas satu lagi usahasama umatnya iaitu selepas pembinaan sebuah Grotto "Mother Of Perpetual Help" yang mula dibina pada awal bulan julai 2003 dan telah siap pembinaanya pada sekitar bulan Mei 2004 dan telah diberkatrasmikan oleh Rev. Fr. Tony Mojiwat pada 09.05.2004 (Sila lihat gambar). Pembinaan Grotto ini adalah atas cadangan dan idea oleh warga KKD St. Gabriel (KKD gereja St. Sabina) yang mana telah dipertanggungjawabkan oleh gereja ini sebagai AJK Pelaksana pembinaan Grotto tersebut. Perbelanjaan sebahagian pembinaan dan pembelian "Statue" Grotto ini adalah sumbangan daripada seorang umat Katolik yang bermurah hati daripada Kota kinabalu, Pn. Wong Siew Yen @ Dolly iaitu sebanyak RM1,500.00 dan penyiapan selebihnya yang sebanyak RM600.00 adalah daripada Tabung Kewangan KUK gereja St. Sabina sendiri dan upah pekerja sebanyak RM300.00 disumbangkan oleh seorang umat St. Sabina yang bermurah hati.
Perkembangan gereja kecil ini amatlah dibanggakan sekali kerana, walaupun mungkin gereja St. Sabina ini belum berapa dikenali di outstasi luar, namun cukup dikenali oleh gereja-gereja lain dan Paroki-Paroki yang terdapat di daerah Papar. Apa yang cukup membanggakan kami di sini adalah dari segi perkembangan iman umatnya serta kemajuan dari segi pembangunan infrastruktur dan persekitarannya tidak pernah berhenti. Semoga fenomena seperti ini akan berterusan dan semoga Tuhan sentiasa memberkati apa sahaja aktiviti kerohanian mahupun pembangunan yang dilaksanakan di gereja kami ini. Terima kasih dan syukur kepada Tuhan kerana sentiasa melihat umatNya terutama di gereja kecil St. Sabina ini semoga cinta kasih umatNya sentiasa tersemai seiring sejalan di dalam iman untuk membina Kerajaan Allah.

Salam Damai daripada,
Umat Katolik KUK St. Sabina, Kg. Titimboungon, Papar

Oleh: Melonie Vincent (S/U)







GROTTO KUK CHAPEL ST. SABINA, TITIMBOUNGON, PAPAR